Bintang Barcelona, Lamine Yamal, sekali lagi menyuarakan hasrat untuk melihat Julián Álvarez menyertai pasukan itu.
Menurutnya, penyerang Atlético Madrid itu memiliki semua ciri yang diperlukan untuk berjaya dalam corak permainan Barcelona.
Yamal tidak pernah menyembunyikan keinginannya untuk bergandingan dengan Alvarez di FC Barcelona.
Pemain sayap berusia 18 tahun itu percaya seluruh skuad bersedia menyambut kehadiran penyerang Argentina tersebut.
Ketika ditemu bual oleh Mundo Deportivo, pemain antarabangsa Sepanyol itu memberikan pujian tinggi terhadap kemampuan Alvarez serta kesesuaiannya dengan sistem permainan Barcelona.
“Semua orang tahu dia pemain bertaraf dunia dan pemain yang semua orang mahu bermain bersamanya.”
“Saya sudah katakan sebelum ini, kami terbuka untuk menyambut kehadirannya dan jika dia datang, kami semua akan sangat gembira.”
“Saya fikir dia sangat sesuai dengan gaya permainan Barca. Saya tidak tahu bagaimana situasinya tetapi saya berharap ia menjadi kenyataan.” kata Lamine Yamal.
Alvarez telah membuktikan dirinya sebagai antara penyerang paling konsisten di dunia selepas beraksi bersama Manchester City F.C. dan kini bersama Atlético Madrid di bawah kendalian Diego Simeone.
Penyerang berusia 26 tahun itu dilaporkan menjadi sasaran utama Barcelona kerana kebolehannya beraksi di beberapa posisi selain sanggup bekerja keras demi pasukan.
Yamal juga sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk bergandingan dengannya di Camp Nou.
“Dia akan menyertai kelab terbaik di dunia, penyokong terbaik di dunia dan bandar terbaik di dunia, pada pendapat saya. Jadi, jika saya berada di tempatnya, saya akan melakukannya. Saya harap Julián Álvarez menyertai kami.” Yamal berkata.
Dalam masa sama, masa depan Alvarez di Atlético Madrid terus menjadi spekulasi di media Sepanyol termasuk dakwaan mengenai hubungannya dengan Diego Simeone.