Laos Lantik Jurulatih Baharu Dari Serbia
MakanBola
Lao FF

Laos memilih jurulatih Serbia, Vladica Grujic sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya, Ha Hyeok-jun.

Pelantikan jurulatih berusia 63 tahun itu diumumkan Persekutuan Bola Sepak Laos (LFF) di laman sesawang rasmi badan induk itu.

“Persekutuan Bola Sepak Lao (LFF) mengumumkan pelantikan Vladica Grujic sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Laos.

“Beliau akan membimbing skuad kebangsaan Laos dan skuad Laos Bawah 23 Tahun (B-23),” kata badan induk itu.

Grujic pernah menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan Buriram United, Cerezo Osaka, FC Tokyo, Real Zaragoza, Pune City, Machida Zelvia dan FK Vojvodina.

Beliau bukan asing dengan Laos kerana pernah menjadi penolong jurulatih ketika itu, Hans-Peter Schaller dari 2010 hingga 2011.

Grujic bukan saja bakal mengemudi Laos untuk aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac ini. Beliau juga dijangka mengemudi pasukan itu untuk menghadapi ASEAN Hyundai Cup.

Laos berada dalam Kumpulan B bersama Malaysia, Thailand, Filipina dan Myanmar. Selain tugasan skuad kebangsaan, Grujic juga dijangka membantu membentuk skuad muda Laos.