Malaysia bakal berdepan Thailand di pentas ASEAN Hyundai Cup 2026.
Ini selepas keputusan majlis cabutan undi kejohanan itu yang diadakan di Jakarta, Indonesia.
Selain Thailand, Harimau Malaya akan berdepan cabaran Myanmar, Laos dan Filipina dalam Kumpulan B.
Kejohanan ini dilihat pentas buat anak buah Peter Cklamovski menebus kekecewaan gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 2024.
Edisi tersebut menyaksikan Malaysia yang ketika itu dibimbing Pau Marti Vicente terkandas di peringkat kumpulan. Skuad negara hanya merekodkan satu kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan.
Kempen itu juga merupakan kempen terakhir Pau Marti bersama Harimau Malaya sebelum digantikan oleh Cklamovski pada Januari 2025.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan berprestij di Asia Tenggara itu ialah meraih gelaran juara edisi 2010.