Ucapan penghargaan diberikan buat pengendali sementara Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dan barisan kejurulatihan di atas sumbangan buat pasukan bola sepak Malaysia.
Pau Marti diumumkan sebagai pengganti kepada Kim Pan-gon pada Julai lalu setelah jurulatih kelahiran Korea Selatan itu mengambil keputusan untuk berpisah dengan pasukan kebangsaan.
Walaupun tidak memiliki pengalaman menjadi ketua jurulatih, Pau Marti tetap menyahut cabaran dengan menggalas tugas besar ini dan menjawat posisi penting dalam skuad Harimau Malaya.
Sungguhpun begitu, jodoh Pau Marti dan Malaysia tidak lama apabila jurulatih kelahiran Barcelona itu mengumumkan akan meninggalkan pasukan sebaik tugasan di ASEAN Mitsubishi Electric Cup tamat.
Dengan tersingkir Malaysia di peringkat kumpulan setelah terikat seri bertemu Singapura, ini bermakna tugasan Pau Marti bersama pasukan kebangsaan kini sudah sampai ke penghujungnya.
Untuk rekod, Pau Marti telah mencatatkan 4 kemenangan, 3 keputusan seri dan 2 kekalahan dalam 9 aksi bersama skuad Harimau Malaya dengan peratusan kemenangan mencapai 44%
Sepanjang 5 bulan Pau Marti membimbing pasukan negara, kejayaan paling manis sudah pastinya menjulang kejuaraan Pestabola Merdeka 2024 pada September yang lalu apabila menewaskan Lubnan.