Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) 2024 bakal menjadi kejohanan terakhir buat pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente.
Ini selepas jurulatih Sepanyol berusia 41 tahun itu memaklumkan kejohanan ini merupakan tugas terakhirnya sebelum barisan kejurulatihan Harimau Malaya baru dilantik pada 2025.
Pelantikan barisan kejurulatihan baru ini merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula pengurusan skuad kebangsaan bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2027.
“Keputusan ini dibuat susulan komunikasi dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berhubung penstrukturan semula Pengurusan Pasukan Kebangsaan.
“Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula ini, ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu akan dilantik untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027 mulai tahun depan.
“Berikutan itu, saya dan barisan kejurulatihan akan menamatkan perkhidmatan kami bersama skuad Harimau Malaya pada akhir kempen Piala Mitsubishi Electric ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan.
Meskipun ini kempen terakhirnya bersama skuad senior Malaysia, Pau Marti tetap menghargai tempoh tiga tahun yang menakjubkan bersama pasukan itu.
Atas sebab itu, bekas jurulatih Barcelona B itu mahu barisan pemain yang bakal menghadapi PMEA 2024 terutama pemain muda untuk menikmati kejohanan tersebut.
“Saya mahu pemain, terutamanya prospek muda menikmati kejohanan ini dan suasana luar biasa di Bukit Jalil bersama penyokong kami.
“Mendapat sokongan mereka akan menjadi penghargaan terbesar kepada kami. Saya memberi jaminan bahawa penyokong akan menikmati aksi pasukan dalam kejohanan terakhir kami ini. Marilah kita bersama-sama dan berikan yang terbaik untuk pasukan ini,” katanya.
Malaysia bakal membuka kempen Kumpulan A PMEA 2024 dengan menentang Kemboja pada 8 Disember ini.