Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui faktor fizikal yang tidak mengizinkan menjadi salah satu sebab tersingkir di Japan Open 2024.
Zii Jia turun ke gelanggang buat kali pertama setelah mencipta sensasi dengan merangkul pingat gangsa di Olimpik Paris beberapa minggu lalu.
Walau bagaimanapun, rentak positif jaguh berusia 26 tahun itu disekat oleh Alex Lanier dari Perancis di pusingan pertama pada Selasa dengan keputusan straight set.
Dalam aksi tersebut, Zii Jia terpaksa akur tunduk 18-21, 13-21 sekaligus menjadi kemenangan pertama buat Lanier dalam pertemuan sulung antara kedua-dua pemain ini.
Setelah perlawanan, wakil negara ini memuatnaik satu hantaran di Instastory bagi menjelaskan keadaan fizikalnya yang masih belum pulih sejak pulang dari Paris tempoh hari.
Hai semua, fizikal saya berasa lemah untuk beberapa hari sejak pulang dari Sukan Olimpik,” ujar Zii Jia menerusi catatan Instastory.
Tambah beliau lagi, saingan sengit cuba diberikan kepada Lanier dalam aksi tersebut namun akur dengan keadaan badan yang tidak mengizinkan.
“Akan tetapi menarik diri dari kejohanan tidak ada dalam rancangan selagi saya rasa ia tidak akan membahayakan saya,” kata Zii Jia lagi.
“Saya mencuba yang terbaik dan berjuang sepanjang perlawanan tetapi badan saya tidak mengizinkan saya melakukan yang terbaik mengikut kemampuan saya.”
“Mengharapkan rehat dan pemulihan yang baik untuk kejohanan yang akan datang.”
Dengan keputusan ini, Lanier mara ke pusingan seterusnya manakala Zii Jia akan pulang ke tanah air bagi meneruskan sesi pemulihan sebelum kembali semula ke gelanggang.