Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melihat kekalahan di peringkat separuh akhir bukan bermakna perjuangannya dalam Sukan Olimpik 2024 sudah berakhir.
Zii Jia turun menentang juara dunia 2023 dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn di peringkat separuh akhir dengan misi memburu kemaraan ke final.
Hajat bekas juara All England 2021 itu untuk mengikut jejak Datuk Lee Chong Wei buat kali pertama sejak edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil tidak kesampaian. Kunlavut menunjukkan permainan mantap untuk menewaskan Zii Jia dengan keputusan 21-14, 21-15.
Meskipun tewas, juara Australian Open 2024 itu melihat perjuangannya untuk menghadiahkan pingat buat kontinjen negara masih belum berakhir.
Ini kerana bukan mudah untuk berada di peringkat separuh akhir dan peluang mendapatkan pingat gangsa. Atas sebab itu, Zii Jia mahu memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin untuk mengharumkan nama Malaysia.
“Bagi saya (kekalahan) ini bukannya bermakna semuanya sudah berakhir, besok ada satu lagi perlawanan. Bukan senang ada peluang masuk separuh akhir dan bukan (senang) ada peluang lagi nak dapatkan pingat gangsa.
“Banyak orang yang impikannya tetapi tak dapat. Saya sudah dapat peluang ini, saya hilang peluang dapatkan pingat emas dan perak. Tapi saya masih ada peluang untuk dapatkan pingat gangsa, kena kekalkan fokus lagi,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani selepas perlawanan.
Zii Jia bakal berdepan cabaran wakil India, Lakshya Sen untuk penentuan pingat gangsa. Sen tewas dalam satu lagi aksi separuh akhir menentang bekas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen.