Lee Zii Jia: RM100,000 Tak Banyak
UltraSukan

Pemain nombor lima dunia, Lee Zii Jia mengakui bukan mudah untuk membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa selaku pemain badminton profesional.

Pandangan itu dinyatakan pemain badminton berusia 26 tahun itu kepada media selepas menerima insentif kewangan sebanyak RM100,000 daripada syarikat minuman isotonik, 100PLUS.

Zii Jia menerima insentif berkenaan selepas meraih pingat gangsa acara perseorangan lelaki dalam temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Kejayaan itu turut menyaksikan beliau mengikut jejak dua lagi legenda perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Rashid Sidek sebagai pemenang pingat Olimpik.

Zii Jia mengakui insentif RM100,000 amat membantunya sebagai pemain profesional. Ini kerana ini akan membantunya menghadapi tiga kejohanan antarabangsa iaitu Arctic Open 2024, Denmark Open 2024 dan Hylo Open 2024.

“RM100,000 tak banyak. Tiga kejohanan saja sudah RM100,000. Saya perlu berjuang sendiri (di atas gelanggang) untuk meraih wang kemenangan dan dari situ, orang akan mula tengok pencapaian kita.

“Sejujurnya inilah realitinya, bila ada keputusan bagus, sudah pasti penaja juga akan hadir kepada anda. Saya sangat hargai apa yang diberi bukan saja dari segi duit tetapi juga sokongan,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian insentif berkenaan.

Selain Zii Jia, beregu utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik turut menerima insentif kewangan daripada 100PLUS. Beregu negara itu mendapat insentif berjumlah RM150,000.