Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sebak setelah mengharungi pelbagai detik suka duka sebelum merangkul pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris.
Lee Zii Jia turun berdepan Lakshya Sen dari India dalam aksi penentuan pingat gangsa setelah tewas di pusingan separuh akhir di tangan juara dunia, Kunlavut Vitidsarn.
Dalam aksi tersebut, jaguh kelahiran Kedah tumpas di set pertama 13-21, sebelum bangkit meraih kemenangan di set kedua dan set penentuan dengan keputusan 21-16, 21-11.
Ketika ditemui, Zii Jia tidak dapat menahan sebak sambil bercerita tentang berita tersebar mengenai dirinya setiap pagi sedangkan beliau tidak melakukan apa sekali pun.
”Setiap pagi saya bangun, saya nampak macam-macam berita. Saya tertanya-tanya apa salah yang saya buat,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.
”Saya cuma bangun seperti biasa, datang ke latihan, diam-diam sahaja. Maksud saya, saya tak tahu apa yang berlaku terutamanya kepada media.”
Menurut Zii Jia lagi, beliau hanya kekal senyap sepanjang tempoh ini dan mahu buktikan kepada semua dengan kejayaan di Paris ini hanyalah permulaan untuk edisi akan datang.
”Saya cuma beritahu diri saya untuk kekal senyap, tak kira macam mana mereka malukan dan cakap apa-apa tentang saya, saya cuma kekal diam.”
”Saya tahu, saya akan buktikan kepada mereka semua. Walaupun ini hanya pingat gangsa, tetapi saya akan terus berusaha dapatkan pingat emas di Olimpik Los Angeles 2028.”
Dengan kejayaan menumpaskan Lakshya Sen ini, Lee Zii Jia berjaya membawa pulang pingat gangsa buat kontinjen negara, begitu juga dengan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.