Juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn mendoakan agar Lee Zii Jia memenangi pingat gangsa.
Kunlavut atau lebih mesra disapa dengan panggilan View bertemu Zii Jia dalam aksi separuh akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik Paris pada Ahad.
Dalam aksi tersebut, wakil negara, Lee Zii Jia terpaksa akur dengan persembahan cemerlang yang dipamerkan oleh View sekaligus tewas dengan keputusan 14-21, 15-21.
Ketika ditemui selepas perlawanan, View meluahkan rasa gembiranya berjaya muncul pemain pertama dari Thailand yang layak ke final bagi acara perseorangan lelaki.
”Bagi saya, ini sangat bermakna untuk menjadi pemain perseorangan lelaki pertama dari Thailand yang mara ke final,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.
“Saya gembira (masuk ke final) kerana semua lawan di sini berada di tahap tertinggi dan sebagai pemain biasa saya perlu belajar dari pemain yang lebih hebat berikan yang terbaik.”
Juara Remaja Dunia 3 kali itu sempat mendoakan agar Lee Zii Jia dapat menewaskan Lakshya Sen bagi membawa pulang pingat gangsa buat kontinjen negara nanti.
”Dan saya berharap Lee Zii Jia dapat memenangi pingat gangsa untuk Malaysia,” tambah pemain berusia 23 tahun itu.
Lee Zii Jia bakal turun dalam aksi terakhir di Paris dengan misi untuk merangkul pingat gangsa apabila berdepan Lakshya Sen dari India pada jam 9 malam waktu tempatan.
Manakala Kunlavut Vitidsarn akan turun dalam perlawanan akhir menentang pemenang pingat emas Olimpik edisi lalu, Viktor Axelsen.