Legenda JDT Ucap Selamat Tinggal Selepas Lebih 3 Tahun
UltraSukan
JDT Futsal

Legenda Johor Darul Ta’zim (JDT), Caio Cesar mengucapkan selamat tinggal selepas bersama pasukan itu selama lebih tiga tahun.

Meskipun mengakui ini bukan satu keputusan mudah, beliau tetap menghargai pengalaman dan kenangan yang dilakar sepanjang bersama pasukan gergasi selatan tanah air itu.

“Hari ini, saya secara rasminya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang telah memberikan saya detik-detik yang akan saya bawa sepanjang hayat saya.

“Terima kasih, JDT untuk tiga setengah tahun ini yang penuh dengan cerita, pengajaran, pengalaman, persahabatan dan pencapaian,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Caio Cesar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutama Kiko Insa dan bekas jurulatih pasukan, Juan Antonio Miguel Garcia kerana menjadikan pengalaman bersama JDT cukup bermakna.

“Terima kasih kepada semua pemain dan pekerja yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini dan yang, dalam beberapa cara, telah berjalan bersama saya selama ini,” katanya.

“Seperti yang pernah dikatakan oleh idola saya, Romário, “Kini gelanggang telah lengkap: kita mempunyai seorang raja, seorang putera, dan seorang badut, untuk membuat semua orang ketawa.’”

Sepanjang bersama JDT, Caio Cesar membantu JDT muncul juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) sebanyak dua kali dan Malaysia Futsal Cup (MFC). Selepas tidak bergelar pemain pada musim ini, beliau menjadi pembantu jurulatih kepada Joao Almeida.

Sebaik berita itu dikongsikan, ramai rakan pemain dan jurulatih mengucapkan selamat berjaya. Antaranya Ekmal Shahrin, Bruno Taffy, Evandro Borges, Edgar Baldasso dan Miguel Garcia.