Lembaga pengarah kelab Lembah Klang, KL City FC memberi jaminan mereka komited untuk memastikan semua isu dalaman yang timbul berakhir dengan baik.
Sejak kebelakangan ini, peminat bola sepak negara dikejutkan pendedahan isu tunggakan gaji dan tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pasukan itu.
Susulan pendedahan yang timbul, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melancarkan siasatan ke atas KL City berkenaan isu pelanggaran lesen.
Sekiranya pasukan itu didapati berbuat demikian, AFC memaklumkan ini akan menyusahkan pasukan-pasukan negara yang bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Susulan itu, ahli lembaga pengarah syarikat yang menguruskan KL City, Kuala Lumpur United Football Club Sdn Bhd memaklumkan pasukan itu komited memastikan semua isu dalaman yang timbul selesai secara tuntas.
“Kini, proses pembayaran gaji sedang giat dilaksanakan serta pembayaran kepada badan berkanun. Ahli Lembaga Pengarah sentiasa bersatu padu untuk maju ke hadapan dan akan berdiri teguh di belakang kelab bagi memastikan Kuala Lumpur City FC meneruskan permulaan yang cemerlang musim ini, mengatasi segala kemungkinan dan terus menghasilkan keputusan yang baik.
“Kuala Lumpur City FC merupakan kelab yang mampu menangani cabaran dan rintangan serta situasi yang sukar dengan berkesan. Ini menunjukkan bahawa kemampuan kelab untuk mengatasi halangan dan mencapai kejayaan cemerlang kerana kesatuan dalaman yang kukuh serta semangat berpasukan.
“Tiga penampilan di Perlawanan Akhir melalui tiga pertandingan yang berbeza dalam tempoh tiga musim terakhir ini telah membuktikan bahawa Kuala Lumpur City FC berada di landasan yang betul dalam membina pasukan yang baik dan mampu memberi saingan,” kata mereka dalam satu kenyataan.
KL City akan turun menentang Sri Pahang FC untuk aksi terbaru liga pada 27 Julai ini.