Legenda bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar membuktikan dirinya masih lagi mempunyai ketajaman penyudah apabila jaringan menarik beliau membantu Lagenda Malaysia menewaskan Legenda Brunei pada Sabtu.
Video jaringan Baddrol itu telah tular di aplikasi Tiktok dan rata-rata yang menonton video tersebut kagum dengan lencongan tajam Baddrol yang menewaskan penjaga gol lawan.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Hassanal Bolkiah, Brunei itu menyaksikan pasukan Legenda Malaysia kendalian Datuk K. Rajagobal menewaskan Legenda Brunei dengan keputusan 4-1.
Selain Baddrol, beberapa pemain Lagenda Malaysia turut beraksi dalam perlawanan tersebut seperti Zaquan Adha, Norazlan Razali, Khalid Jamlus, Ramles Sari dan Nazzab Hidzan.
Perlawanan yang berlangsung di antara kedua-dua pasukan itu adalah bagi meraikan hubungan Malaysia-Brunei yang kini memasuki tahun ke-40.
Baddrol kini tidak lagi aktif sebagai pemain bola sepak profesional selepas beliau memenangi Pilihanraya Negeri Kedah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.
Selain menjadi ADUN Gurun, Baddrol juga telah dilantik sebagai Pengurus Pasukan Kedah Darul Aman FC B (KDA FC B) bagi saingan Piala MFL musim 2024/ 2025.