Kelab gergasi Jerman, Bayer Leverkusen mengucapkan tahniah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan mencipta rekod dunia untuk siri perlawanan tanpa kalah paling panjang dengan 109 perlawanan.
Ucapan tahniah itu dizahirkan dalam satu hantaran ringkas tetapi bermakna di X. Kelab yang diberi jolokan Die Werkself itu menyifatkan apa yang dicapai JDT sebagai satu pencapaian hebat.
“Satu rekod yang hebat, tahniah kepada mereka,” katanya. Leverkusen bukan asing dengan rekod tanpa kalah paling lama kerana mereka juga pernah melakukannya pada musim 2023/24.
Musim tersebut menyaksikan kelab yang ketika itu dibimbing Xabi Alonso muncul juara Bundesliga dan tidak tewas sepanjang musim. Rekod 35 perlawanan Leverkusen dalam liga kemudiannya ditamatkan pada 31 Ogos 2024 di tangan RB Leipzig.
JDT melakar rekod baru dunia apabila menewaskan Kuching City FC 3-0 dalam aksi Piala Sumbangsih. Kemenangan itu menyaksikan Harimau Selatan memintas rekod 108 perlawanan yang dicipta kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas.
Pencapaian rekod dunia dan bersejarah yang dilakar JDT menjadi sebutan pelbagai media antarabangsa selepas kemenangan 3-0 itu dilakar di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Kejayaan ini bukan saja memastikan JDT muncul juara Piala Sumbangsih buat kali kesembilan berturut-turut. Anak buah Xisco Munoz turut membuka kempen Liga Super dengan tiga mata penuh dan rekod yang akan diingati untuk satu tempoh yang lama.