Kejayaan JDT Tarik Perhatian Media Besar US
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

Sebuah akhbar United States melaporkan Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar rekod baru dunia pada awal pagi Sabtu.

Akhbar BR Football melaporkan JDT kini memintas kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas dan memegang rekod baru dunia untuk siri perlawanan tanpa kalah paling panjang di dunia selama 109 aksi.

“Johor Darul Ta’zim (JDT) FC telah melakar rekod dunia baharu bagi rentetan tanpa kalah terpanjang dalam liga bola sepak lelaki.”

“Juara Malaysia itu kini telah mengharungi 109 perlawanan liga tanpa kekalahan, dengan rekod tersebut bermula sejak tahun 2021.”

“Pencapaian ini mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang oleh kelab dari Ivory Coast, ASEC Mimosas, sejak tahun 1994. JDT juga telah menjuarai Liga Super Malaysia sebanyak 12 musim berturut-turut,” kata BR Football tersebut dalam satu kenyataan di laman media sosial milik mereka.

Sebelum ini, JDT dan ASEC Mimosas berkongsi rekod 108 perlawanan tanpa kalah. JDT menyamakan rekod tersebut dalam aksi terakhir Liga Super musim lalu menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC).

JDT berjaya memintas rekod itu menerusi kemenangan 3-0 dalam aksi Piala Sumbangsih 2026-27 dengan menewaskan Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Jumaat. Perlawanan ini turut memastikan Harimau Selatan meraih 3 mata pertama liga.

Rekod baru ini sekali gus meleburkan rekod ASEC Mimosas yang bertahan selama 32 tahun. Jurulatih JDT, Xisco Munoz turut mengucapkan terima kasih kepada pemilik kelab, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim (TMJ) atas kejayaan ini.

“Luar biasa. Hari ini, apa yang boleh kami lakukan hanyalah mengucapkan terima kasih kepada bos. Sukar dipercayai bagaimana 12 tahun lalu beliau mengambil alih kelab ini dan sekarang beliau telah membawa kelab ke tahap seperti ini,” kata Xisco Munoz selepas menewaskan Kuching City pada Jumaat, 21 Ogos 2026.