Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak positif sebelum bermulanya kempen Liga Malaysia musim ini apabila menundukkan kelab Singapura, Tanjong Pagar United dengan keputusan 6-0.
Perlawanan persahabatan itu diadakan di Stadium Sultan Ibrahim sebagai persiapan terakhir JDT bagi memulakan kempen Liga Malaysia pada 21 Ogos ini dalam aksi Piala Sumbangsih menentang Kuching City di Stadium Sultan Ibrahim.
Melalui tinjauan di ruangan komen Harimau Selatan, rata-rata penyokong teruja dengan kemenangan besar yang diraih skuad bimbingan Xisco Munoz itu dan walaupun diadakan secara tergempar JDT tetap garang meraih kemenangan.
Penyokong turut mendapat berita baik untuk perlawanan tersebut. Penyokong kedua-dua pasukan dibenarkan masuk secara percuma untuk perlawanan yang berlangsung pada jam 9.00 malam tadi.
Pada separuh masa pertama, JDT selesa mendahului dengan tiga jaringan. Selepas itu bersambung babak kedua, Harimau Selatan menambah 3 lagi gol bagi memastikan kemenangan besar aksi malam ini.
Gol-gol JDT dijaringkan sebanyak 2 kali oleh Marcos Guilherme, penyerang import terbaik musim lepas, Bergson da Silva dan Shahab Zahedi.
Perlawanan antara JDT dan Tanjong Pagar United di Stadium Sultan Ibrahim tamat dengan keputusan 6-0.
Sebelum ini, 8 aksi pra-musim yang ditempuh di Sepanyol, JDT merekodkan dua kemenangan, 5 kali seri dan satu kekalahan dengan beberapa keputusan hebat dicatatkan seperti mengikat kelab liga utama Scotland, Rangers 2-2 dan wakil LaLiga, Elche CF.
JDT turut segar daripada kejayaan mengikat kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea 3-3 baru-baru ini hasil jaringan Arif Aiman, Oscar Arribas dan Bergson da Silva sementara gol The Blues dijaringkan oleh Liam Delap sebanyak 2 kali & jaringan sendiri Antonio Glauder.
Kini, Harimau Selatan bakal menumpukan sepenuhnya fokus kepada perlawanan pembukaan Liga Malaysia 2026/27 atau lebih dikenali sebagai Piala Sumbangsih dengan menentang Kuching City pada 21 Ogos di Stadium Sultan Ibrahim.