Pengendali dari Jepun, Satoru Mochizuki dan pasukan bola sepak wanita Indonesia, Garuda Pertiwi, kini membawa haluan berbeza selepas kedua-dua pihak secara rasmi mengumumkan perpisahan pada Khamis.
Perkembangan itu disahkan menerusi satu hantaran di laman Instagram rasmi Timnas Indonesia yang merakamkan penghargaan terhadap sumbangan jurulatih berusia 61 tahun itu sepanjang bersama pasukan berkenaan.
“Arigatou gozaimashita, Coach Mochi. Terima kasih atas dedikasi, kerja keras dan sejarah indah yang ditinggalkan untuk Garuda Pertiwi,” menurut kenyataan tersebut.
Mochizuki mula diberikan tanggungjawab membimbing skuad wanita Indonesia pada Februari 2024 selepas Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) membawa masuk khidmatnya bagi membantu pembangunan bola sepak wanita negara itu.
Antara pencapaian terbesar beliau adalah membantu Indonesia meraih kejuaraan Piala AFF Wanita 2024 selepas menewaskan Kemboja 3-1 dalam aksi final untuk mencipta sejarah buat Garuda Pertiwi.
Bagaimanapun, perjalanan beliau bersama skuad kebangsaan tidak berlangsung secara berterusan apabila PSSI mengubah peranannya kepada bidang pembangunan bola sepak wanita pada Julai 2025.
Mochizuki kemudian kembali diberikan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih skuad wanita Indonesia pada April 2026 sebelum membimbing pasukan itu mempertahankan kejuaraan Piala AFF Wanita 2026.
Kejayaan tersebut hadir selepas Indonesia menewaskan Laos 5-0 dalam aksi final sekali gus menyaksikan Garuda Pertiwi meraih gelaran kedua berturut-turut dalam kejohanan berkenaan.
Namun, kebersamaan Satoru Mochizuki bersama skuad wanita Indonesia kini berakhir selepas hampir dua tahun sejak pelantikan pertamanya, dengan PSSI masih belum mengumumkan individu yang bakal mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih tersebut.


