Kemunculan pertama legenda Belgium, Radja Nainggolan sudah cukup membantu kelab barunya, Bhayangkara meraih kemenangan kedua dalam liga malam ini.
Kelab yang dibimbing bekas pengendali Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Mario Gomez itu meraih kemenangan 2-0 ke atas Persita Tangerang.
Ramai peminat bola sepak Indonesia teruja apabila nama Nainggolan tersenarai dalam senarai pemain simpanan The Guardians untuk perlawanan hari ini.
Legenda Belgium itu menyertai Bhayangkara dalam tetingkap kedua perpindahan Liga 1 Indonesia baru-baru ini.
Ini dianggap suntikan moral buat pasukan yang berdepan Persita yang menduduki tangga ke-14 liga.
Babak pertama menyaksikan Bhayangkara memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan menekan Persita.
Usaha mereka membuahkan hasil apabila bek tengah Brazil, Anderson Salles meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-29.
Bhayangkara terus memberi tekanan kepada Persita tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, detik yang dinantikan Nainggolan akhirnya tiba pada minit ke-56. Legenda Belgium itu tampil sebagai pemain gantian menggantikan Muhammad Ragil.
Kehadiran bekas pemain tengah AS Roma itu membantu bahagian tengah Bhayangkara melindungi barisan pertahanan mereka.
Gol kedua yang dicari The Guardians akhirnya muncul pada minit ke-84 menerusi Junior Brandao.
Dan Brandao memastikan tuan rumah pulang dengan tiga mata dengan gol ketiga perlawanan pada minit ke-95.
Kemenangan ini memberi semangat buat anak-anak buah Gomez untuk bangkit dan keluar daripada kedudukan ke-18 liga ketika ini.