Advertisements
Radja Nainggolan Sah Ke Liga Indonesia
Asia Tenggara
MakanBola
AP

Bekas pemain kebangsaan Belgium, Radja Nainggolan mencipta kejutan apabila menyertai pasukan Liga Indonesia, Bhayangkara FC untuk baki musim 2023/2024.

Pernah beraksi bersama kelab-kelab besar seperti AC Milan, AS Roma dan Inter Milan, kehadiran pemain berusia 35 tahun itu nyata menimbulkan keterujaan kepada peminat Bhayangkara.

Namun begitu, tugas sukar menanti Radja Nainggolan apabila perlu membantu Bhayangkara keluar daripada kedudukan tercorot liga.

“Saya gembira dapat berada di Indonesia. Saya yakin dan percaya dengan projek ini, semoga dapat memberikan yang terbaik di sini. Ayuh sama-sama berusaha agar pasukan ini kekal di Liga 1 Indonesia,” kata Radja Nainggolan seperti yang dilaporkan CNN.

Pemain yang mempunyai 30 kaps bersama Belgium itu mempunyai sebab tersendiri mengapa memilih untuk beraksi di Indonesia.

“Sebab saya datang ke sini (Indonesia) kerana saya masih mampu beraksi dengan baik dan saya mahu mencuba perkara baru di Indonesia,” katanya lagi.

Bhayangkara kini berada di tangga tercorot Liga 1 Indonesia selepas hanya berjaya mengumpul 11 mata selepas 21 perlawanan. Mereka hanya berjaya mencatat satu kemenangan sahaja setakat ini dengan 8 keputusan seri dan 12 kekalahan.

Dengan hadirnya Radja Nainggolan ke Bhayangkara, ini bermakna beliau bakal menjadi rakan sepasukan kepada bintang-bintang ternama Indonesia seperti Witan Sulaeman, Dendy Sulistyawan, David Maulana dan pemain kebangsaan Singapura, Zulfahmi Ariffin.