Liga A1: Imigresen Diikat 10 Pemain Armed Forces
MakanBola
Imigresen FC

Rekod tanpa kalah juara Liga A1 Semi-Pro 2023, Imigresen FC terus terpelihara meskipun diikat Armed Forces 1-1 di Stadium UKM, Bangi.

Selepas Melaka meraih kemenangan ke atas Malaysian University FT (MUFT) pada 16 Ogos lalu, Imigresen perlu meraih tiga mata ke atas pelawat jika ingin kembali menerajui liga.

Manakala Armed Forces pula mahu kembali menampilkan prestasi terbaik selepas hanya merekodkan satu kemenangan daripada lima perlawanan terakhir liga. Ini termasuk kekalahan terbaru 3-0 di tangan Malaysian University pada 11 Ogos lalu.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan Imigresen berusaha mencari kelebihan gol awal menerusi penjaring terbanyak mereka dari Nigeria, ThankGod Michael Ogwuche.

Ad

Keadaan ini memaksa penjaga gol Armed Forces, Hafizuddin Azuhar bekerja keras menafikan setiap percubaan yang direncana tuan rumah.

Tatkala Imigresen ghairah memburu gol pendahuluan, pasukan pelawat mencipta kejutan dengan mendahului pada minit ke-27 menerusi Rafizul Roslan.

Ad
Ad

Tersentak, The Mighty Tigers yang dibimbing Mat Zan Mat Aris berusaha mendapatkan gol penyamaan. Mereka hampir melakukannya menerusi Ogwuche pada minit ke-43 tetapi percubaannya tidak menepati sasaran.

Ad

Ketangkasan Hafizuddin memastikan keputusan 1-0 terus memihak kepada Armed Forces sehingga rehat separuh masa.

View this post on Instagram

A post shared by IFC Malaysia ( Imigresen FC ) (@ifc_malaysia)

Bersambung selepas rehat, Imigresen terus memberi tekanan kepada Armed Forces untuk mendapatkan gol penyamaan.

Pasukan pelawat ditimpa malang apabila Azfar Azhar diperintah keluar padang oleh pengadil, Mursyid Baharom pada minit ke-55. Ini mengakibatkan pasukan itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Kelebihan itu cuba dimanfaatkan The Mighty Tigers untuk menggandakan asakan ke arah kubu pertahanan Armed Forces yang diketuai kapten, Muhamad Mazni Khairul Hasnan.

Gawang pelawat yang dikawal Hafizuddin akhirnya bocor pada minit ke-69 menerusi Furqan Azri. Selepas bertukar hantaran dengan Ogwuche, Furqan mudah menolak bola melepasi kawalan penjaga gol Armed Forces itu.

Imigresen terus memberi tekanan kepada pelawat tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan masing-masing kekal di tempat kedua dan ke-10 liga.

Selepas ini, Armed Forces akan turun menentang Machan FC di Stadium MINDEF pada 23 Ogos. Manakala Imigresen pula bakal berentap dengan Gombak FC di Stadium Selayang pada 24 Ogos ini.