Aksi Liga A1 Semi Pro kembali bersambung minggu ini dengan Imigresen FC terus mempamer belang dengan menewaskan Machan FC di laman sendiri
Imigresen kini dalam prestasi terbaik setelah meraih dua kemenangan sebelum ini termasuklah ketika menewaskan Harini FT di Kuala Selangor, berbeza dengan Machan yang masih mencari rentak bagi memungut tiga mata pertama.
Ketua jurulatih Imigresen, Mat Zan Mat Aris menampilkan barisan terbaiknya dengan gandingan Thankgod Michael dan Hazim Abu Zaid mengetuai jentera serangan pasukan untuk menggempur kubu Machan.
Aksi bermula baik buat Imigresen sehinggalah Machan terlebih dahulu mencipta jaringan menerusi tandukan padu Khairul Jemi pada minit ke-17 untuk meletakkan pelawat mendahului 0-1.
The Mighty Tigers berusaha memburu gol penyamaan dan hasilnya pemain tumpuan, Hazim Abu Zaid berjaya meledak jaringan buat Imigresen pada minit ke-31 selepas menerima hantaran jauh dari Felipe Lima.
Tiga minit kemudian, tonggak import Imigresen, Thankgod Michael mempamerkan bisa sebenar untuk menyumbat gol kedua pasukan sebelum Furqan Azri meletakkan juara bertahan itu selesa mendahului 3-1.
Separuh masa pertama, Imigresen FC 3-1 Machan FC.
Permainan di babak kedua menyaksikan penguasaan tuan rumah semakin sukar digugat dengan gol keempat menerusi jaringan sendiri pemain Machan untuk Imigresen terus selesa memimpin permainan.
Machan berjaya merapatkan kedudukan dengan gol kedua hasil sepakan penalti Afiq Yunus setelah pertahanan Imigresen, Felipe Lima melakukan kekasaran di dalam kotak penalti pada minit ke-78.
Aksi di Stadium UKM berakhir dengan kemenangan 4-2 memihak Imigresen.
Aksi liga seterusnya bakal menyaksikan Imigresen akan bertandang ke laman lawan untuk menghadapi cabaran daripada Bunga Raya Damansara FC di Padang PKNS Kelana Jaya.