Pengalaman berlatih bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolves sedikit sebanyak membantu melonjakkan prestasi Hazim Abu Zaid.
Hazim Abu Zaid yang merupakan tunjang utama di bahagian serangan Imigresen FC musim lalu terpilih menjadi salah seorang pemain yang dihantar ke England Februari lalu.
Seramai 12 orang pemain telah menyertai delegasi Dare To Dream ini hasil kerjasama di antara pihak Amatuer Football League (AFL) dan Wolves untuk menjalani sesi latihan di pusat Latihan kelab tersebut bersama penyerang terkenal, Hwang Hee-chan.
Hasil daripada latihan di sana nampaknya sudah mula membuahkan hasil buat Hazim apabila pemain berusia 23 tahun itu menjadi pemain pertama Imigresen FC yang membuka akaun gol dalam saingan Liga A1 Semi Pro bagi musim ini.
Pada aksi pembukaan minggu lalu, Hazim mencetak gol pertama pasukan seawal minit ke-17 untuk membantu Imigresen menundukkan UiTM United 3-0 sementara dua lagi jaringan disumbangkan oleh Thankgod Michael dan kapten, Nasriq Baharom.
Imigresen yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Mat Zan Mat Aris kini berada di tangga keenam liga dengan tiga mata hasil kemenangan minggu lalu, namun masih kekurangan satu perlawanan.
Selepas ini, Hazim dan rakan sepasukannya di Imigresen FC dijadualkan berdepan Harini FT pada 9 Jun di Stadium Utama Kuala Selangor dengan sepak mula jam 4.45 petang.