Juara Liga A1 Semi Pro musim 2023, Imigresen FC hampa apabila sekadar seri 1-1 dengan pendatang baru liga, Bunga Raya Damansara (BR Damansara) dalam aksi keempat liga.
Kedua-dua pasukan mengidamkan kemenangan untuk kembali mengungguli liga. Ketika ini, tampuk Liga A1 Semi Pro diterajui Melaka FC selepas meraih kemenangan ke atas Manjung City FC pada 29 Jun lepas.
Kelibat penjaring terbanyak liga, ThankGod Michael Ogwuche ditagih pengendali Imigresen, Mat Zan Mat Aris. Sementara cabaran BR Damansara pula diketuai penjaring terbanyak mereka, R. Kogileswaran.
Separuh masa pertama menyaksikan BR Damansara berusaha memberi tekanan kepada kubu pertahanan The Mighty Tigers yang diterajui kapten, Nasriq Baharom.
Keadaan ini memaksa barisan pertahanan tuan rumah bekerja keras menangkis serangan yang digerakkan oleh gandingan Kogileswaran, Sunil Chandran dan Sachin Samuel.
BR Damansara hampir mendahului pada minit ke-27 menerusi Chandran tetapi rembatannya berjaya ditepis penjaga gol Imigresen, Izarul Adli Mohd Nasir.
Tiga minit selepas itu, Kogileswaran hampir mencemaskan Izarul Adli menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti. Malangnya, percubaan bekas penyerang kebangsaan itu tidak menepati sasaran.
Imigresen hampir meraih gol pembukaan menerusi rembatan jarak jauh Ashmawi Yakin pada minit ke-43 tetapi tersasar. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, The Mighty Tigers terus menggandakan asakan untuk mendapatkan gol pembukaan. Gol yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-48 menerusi Hazim Abu Zaid.
BR Damansara menyangka mereka terselamat selepas berjaya mengeluarkan bola daripada ditolak Hafiz Kamal. Walau bagaimanapun, Ashmawi menghantar bola ke dalam kotak penalti yang mudah ditanduk Hazim menewaskan penjaga gol BR Damansara, M. Satthyvel.
Imigresen kemudiannya ditimpa malang apabila Nasriq diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan, P. Jeevanathan. Ini selepas bek tengah berusia 38 tahun itu dikesan menunjukkan isyarat yang kurang enak.
Keadaan ini memaksa Mat Zan memasukkan Nafizuddin Muhamad Fauzi untuk memperkemas benteng pertahanan Imigresen.
Kelebihan 11 pemain ini pantas dimanfaatkan BR Damansara untuk memburu gol penyamaan. Hasilnya, pemain gantian, Farid Khazali menyamakan kedudukan untuk pasukan itu pada minit ke-63.
Farid hampir menambah gol kedua BR Damansara pada minit ke-74 selepas menerima hantaran K. Kannan. Malangnya, tolakan yang dibuat bekas pemain Perak itu melepasi palang.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mendapatkan gol tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan berada di tangga kedua dan ketiga liga dengan 10 mata.
Selepas ini, Imigresen akan melayan kunjungan PT Athletic FC pada 13 Julai. Sementara BR Damansara pula bertandang ke Gambang untuk menentang YPM FC pada hari yang sama.