Melaka terus konsisten mencatat keputusan positif dalam aksi Liga A1 Semi-Pro menentang Manjung City di Stadium Perbandaran Manjung, Perak.
Turun mempertaruhkan tonggak utama pasukan, Haziq Puad, Nasir Basharudin dan Azim Rahim, Melaka dibawah kendalian K-Devan berjaya mempamerkan aksi memukau dalam perlawanan minggu keempat dalam kempen liga musim ini.
Melaka mencetak gol pembukaan perlawanan seawal minit kesembilan permainan. Penjaring terbanyak Liga M3 2023, Azim Rahim mencatat nama sebagai penjaring selepas percubaannya gagal diselamatkan penjaga gol Manjung City, Firdaus Suhaimi.
Tak terhenti setakat itu, import muda Melaka Fuseini Issah menggandakan jaringan pasukan pelawat untuk gol kedua perlawanan. Jaringan Issah memastikan Melaka mendahului aksi di babak pertama dengan keputusan 2-0.
Bersambung aksi di separuh masa kedua, pasukan tuan rumah dilihat lebih mendominasi permainan berbanding pasukan pelawat.
Manjung City beberapa kali hadir menerusi gerakan daripada sebelah sayap kanan namun dipatahkan pertahanan lawan. Penyudah yang tumpul juga menjadi punca kepada kegagalan pasukan Manjung City mencetak jaringan pertama yang dicari-cari.
Sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil, Melaka berjaya menjaga gawang dari dibolosi. Aksi di Stadium Manjung berakhir dengan keputusan memihak kepada pasukan pelawat, Manjung City 0-2 Melaka.