Aksi Liga A1 Semi Pro minggu 8 menyaksikan Machan FC meraih kemenangan kedua selepas menundukkan PIB Shah Alam.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak itu menyaksikan kedua-dua pasukan rancak mengatur gerak bermula awal permainan.
PIB Shah Alam berjaya memperoleh jaringan pertama menerusi tandukan cantik Idris Ahmad pada minit ke-11 hasil hantaran cantik dari sepakan percuma.
Machan segera kembali mengawal rentak permainan menerusi hantaran-hantaran pendek untuk memecahkan pertahanan lawan.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0.
Bersambung babak kedua, tuan rumah kembali dengan motivasi baru dan terus menekan lawan sebaik sahaja wisel dibunyikan.
Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran lintang Zainuddin berjaya mencari Azman Chuchu yang melepaskan tandukan menewaskan Izzat Rahim pada minit ke-50.
Ketika aksi terikat 1-1, perancang tengah Machan, Afiq melakukan satu pusingan cantik sebelum melepaskan rembatan kencang untuk gol kedua pasukan.
Tambahan masa 6 minit kekal hingga wisel penamat dibunyikan untuk kemenangan kepada Machan FC 2-1 menewaskan PIB Shah Alam.
Machan kini melonjak ke tangga ke-10 Liga A1 dengan 7 mata manakala PIB Shah Alam di tangga kelima dengan 14 mata.