Liga A1: Malaysian University Lebarkan Rekod Kemenangan, Tewaskan Gombak
MakanBola
Gombak FC
Sponsors

Malaysian University FT (MUFT) terus mendaki carta Liga A1 Semi Pro apabila membenam cabaran Gombak FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Malaysian University mahu melebarkan dua kemenangan yang diraih dalam liga setakat ini. Sementara Gombak berharap dapat menambah satu lagi kemenangan selepas kali terakhir mengecapinya pada 1 Jun lalu.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan Malaysian University hampir mendahului pada minit ke-14 menerusi Muhammad Hadi Mohamad. Malangnya, tandukannya hanya mengenai bahagian tepi gawang.

Ad

Gombak juga hampir mendahului menerusi penyerang import dari Brazil, Patrik Yudi Majeski pada minit ke-15. Majeski hampa apabila percubaan leretnya mudah diselamatkan penjaga gol Malaysian University, Syed Irfan Syafiq Syed Mohd Kamil.

Gol yang dicari anak buah Ridzuan Abu Shah akhirnya muncul pada minit ke-17. Hadi melepasi kawalan pemain Gombak sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan Hazeem Iman Mohd Faizal.

Ad

Bekas pemain Perak FC II itu terus menjadi duri dalam daging kepada barisan pertahanan Gombak. Rembatan deras Hadi berjaya ditepis Hazeem Iman tetapi bola muntah mudah ditolak Zulkarnain Nasir ke dalam gol pada minit ke-24.

Ad

Malaysian University terus melebarkan kelebihan mereka menerusi Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan pada minit ke-36. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.

Ad
View this post on Instagram

A post shared by Amateur Football League (@afl_my)

Bersambung pada babak kedua, pengendali Gombak, Shahrom Kalam memasukkan Alif Safwan Sallahuddin menggantikan Haikal Sahar untuk memperkemas kembali rentak anak buahnya.

Malangnya, gawang Gombak bocor lagi buat kali keempat. Hantaran lintang yang dilakukan Hadi gagal disekat Gerald Gadit sekaligus mudah disempurnakan Saiful Iskandar pada minit ke-49.

Harapan kem Malaysian University untuk mendapatkan rekod tanpa bolos musnah apabila Alif Safwan merapatkan jurang buat tuan rumah pada minit ke-51.

Gol tersebut menyuntik keyakinan kepada Gombak untuk terus memburu gol tambahan. Nazrul Kamaruzaman hampa apabila percubaannya dari luar kotak penalti pada minit ke-66 tersasar.

Gombak kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Muhammad Harris Sharuddin. Malangnya, penalti yang diambil Majeski pada minit ke-77 berjaya ditepis Syed Irfan Syafiq.

Majeski menebus semula kesilapannya itu dengan menanduk hantaran Nazrul pada minit ke-80 untuk menjadikan kedudukan 4-2.

Keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Malaysian University memintas PIB Shah Alam untuk menduduki tangga kelima liga dengan sembilan mata.

Sementara Gombak pula kekal di tangga kesembilan liga dengan lima mata. Selepas ini, Gombak akan turun menentang PIB Shah Alam pada 19 Julai ini.

Manakala Malaysian University pula berdepan ujian paling sukar apabila turun menentang pendahulu liga, Imigresen FC pada 20 Julai ini.