Minggu ke-10 saingan Liga A1 Semi Pro menyaksikan Melaka menumbangkan Malaysian University (MUFT) di laman sendiri pada Jumaat.
Kedua-dua pasukan kini berada di prestasi terbaik setelah masing-masing mencatatkan kemenangan dalam aksi terdahulu menentang YPM dan Armed Forces.
Melaka mengharapkan pengalaman yang dimiliki oleh Nasir Basharudin bagi memimpin pasukan manakala MUFT diketuai oleh Saiful Iskandar untuk mengemudi bahagian tengah.
Ketiadaan Azim Rahim jelas memberi kesan kepada jentera serangan Melaka apabila tuan rumah kelihatan bergelut untuk mencari jaringan di awal permainan.
Pada minit ke-37, pengadil memberikan sepakan penalti buat Melaka dan tugasan itu mudah disempurnakan oleh Zulkifli Zakaria untuk meletakkan anak buah K. Devan di hadapan.
Separuh masa pertama tamat, Melaka 1-0 MUFT.
Kembali dari rehat, MUFT cuba bangkit memburu jaringan penyamaan dengan beberapa gerakan menarik mula diatur namun berjaya dinafikan benteng pertahanan lawan.
Beberapa pertukaran dilakukan kedua-dua pasukan bagi menajamkan bahagian serangan dan hasilnya pemain gantian, Royizzat Daud meledak gol kedua Melaka di masa kecederaan.
Aksi di Stadium Hang Jebat berakhir dengan kemenangan tipis 2-0 memihak Melaka.