Aksi minggu ke-9 Liga A1 Semi Pro menyaksikan Armed Forces tumbang di tangan pasukan Malaysian University di laman sendiri.
Armed Forces yang mencatat kemenangan ke atas Harini FT minggu lalu turun dengan momentum untuk menyekat pasukan di tangga ke-7 liga, Malaysian University.
Malaysian University menampilkan barisan terkuat dengan Ashraf Fadhil diberi amanah mengemudi benteng terakhir manakala Armed Forces menyenaraikan Shahrul Aznei di dalam kesebelasan utama.
Babak pertama menyaksikan Malaysian University berjaya membuka tirai jaringan menerusi penyudah Aqil Hakimi pada minit ke-32 bagi meletakkan pelawat mendahului 1-0.
Tiga minit sebelum rehat, Malaysian University mencetak gol ke-2 setelah pengadil menghadiahkan sepakan penalti dan tugasan itu tenang disempurnkan oleh Zulkarnain Nasir.
Separuh masa pertama tamat, Armed Forces 0-2 Malaysian University.
Kembali dari rehat, tiada sebarang gol tambahan dapat dihasilkan hinggalah Aqil Hakimi meledak sekali lagi ketika permainan berbaki 10 minit untuk jaringan ketiga pasukan pelawat.
Aksi di Stadium Mindef, Armed Forces 0-3 Malaysian University.
Kemenangan ini melonjakkan kedudukan Malaysian University ke tangga kelima liga, naik dua anak tangga manakala Armed Forces kekal di tempat ke-10 carta liga.