Selepas bergelar pendahulu Liga A1 Semi Pro, Melaka FC kini dicabar hebat empat pasukan lain selepas enam perlawanan liga.
Empat pasukan yang dimaksudkan ialah Imigresen FC, KL Rovers FC, Bunga Raya Damansara FC (BR Damansara) dan PIB Shah Alam FC. Imigresen giat menghambat Melaka bersesuaian dengan status mereka sebagai bekas juara liga musim 2023.
Selepas enam perlawanan, Melaka dan Imigresen saja yang masih belum tewas dalam liga. Meskipun berkongsi 16 mata, rekod bolos yang lebih baik memastikan anak buah K. Devan berada di hadapan.
Melaka merampas takhta liga apabila meraih kemenangan 3-0 ke atas UiTM United di Stadium UiTM pada 20 Julai lalu. Abdul Azim Rahim menjadi penjaring terbanyak pasukan itu dengan enam gol.
Imigresen berharap dapat menghambat Melaka menerusi penjaring terbanyak liga, ThankGod Michael Ogwuche. The Mighty Tigers terus mengekori pasukan itu dengan meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Malaysian University.
Selepas dihampakan Machan FC dalam aksi sebelumnya, KL Rovers kembali meraih kemenangan dengan menewaskan Bukit Tambun FC pada 21 Julai lalu. Pasukan Lembah Klang itu berharap dapat terus mengejar menerusi Rafie Mat Yaacob yang telah menjaringkan empat gol musim ini.
BR Damansara tidak beraksi pada aksi perlawanan keenam kerana tiada perlawanan membabitkan mereka. Keadaan ini meletakkan mereka di tangga keempat dengan 11 mata.
Anak buah Federico Ezequiel Hernandez dijangka mempertaruhkan sentuhan bekas penyerang kebangsaan, R. Kogileswaran untuk mengetuai cabaran. Kogileswaran sudah menyumbat tiga gol dalam liga musim ini.
Selepas menamatkan musim 2023 di tangga kesembilan, PIB Shah Alam dilihat berada pada kedudukan terbaik untuk memburu kelompok empat pasukan terbaik liga.
PIB Shah Alam segar daripada kejayaan mengalahkan Gombak FC pada 19 Julai lalu. Sentuhan berbisa Danial Ashraf Abdullah dijangka ditagih selepas meledakkan lima gol musim ini.
Selepas ini, giliran Melaka pula yang berehat kerana tiada perlawanan untuk aksi minggu ketujuh. The Mighty Tigers berharap dapat memintas Melaka dengan meraih kemenangan ke atas Bukit Tambun.
KL Rovers pula akan menentang Malaysian University di Stadium UKM, Bangi. Sementara BR Damansara pula turun menentang PT Athletic FC di Stadium Mini Persada PLUS.
Manakala PIB Shah Alam akan berentap dengan Armed Forces FC. Kesemua perlawanan ini akan berlangsung pada 27 Julai ini.