Melaka meneruskan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga A1 Semi Pro selepas menumbangkan tuan rumah, UITM United dalam aksi di Stadium UiTM Shah Alam sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat dengan Melaka mempertaruhkan Azim Rahim di bahagian serangan dan Nasir Basharudin sebagai kapten pasukan.
Aksi dimulakan dengan agak seimbang di mana kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dalam mencipta peluang.
Melaka mempunyai peluang terbaik untuk berada di hadapan pada minit ke-30 menerusi Luqmanul Hakeem namun rembatannya sedikit tersasar.
Selepas serangan demi serangan dicipta, Melaka akhirnya berada di hadapan pada minit ke-37 melalui penyudah Azim Rahim yang memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gol.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, UITM memulakan aksi dengan pergerakan yang lebih teratur namun benteng Melaka yang diketuai Haziq Puad ampuh bertahan.
Pemain import Melaka, Fuseini Issah menggandakan kedudukan buat Melaka pada minit ke-70 melalui penyudah menarik.
Belum sempat UITM merangka strategi baharu, Melaka sekali lagi menambah jaringan kali ini menerusi rembatan deras kapten, Nasir Basharuddin sekali gus menjadikan kedudukan 3-0 memihak Melaka.
Selepas jaringan tersebut dihasilkan, Melaka dilihat memperlahankan sedikit tempo permainan namun ianya tidak dapat dimanfaatkan dengan baik oleh UITM.
Kedudukan 3-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan dan Melaka mendapat tiga mata penting dari gelanggang lawan.
Kemenangan ini membolehkan Melaka memberikan tekanan kepada pendahulu liga iaitu Imigresen FC yang masih belum tewas setakat ini.