Tonggak serangan Selangor FC, Alvin Fortes berpendapat liga Malaysia lebih mencabar kekuatan fizikal berbanding liga Thailand menurut pengalamannya.
Alvin Fortes memainkan peranan penting dalam kemenangan bergaya 4-0 Selangor ke atas Negeri Sembilan apabila menyumbangkan dua gol dalam perlawanan tersebut.
Pemain berusia 30 tahun itu pernah beraksi di liga Thailand untuk pasukan Ratchaburi FC dan Nongbua FC sebelum menyertai Selangor pada awal Februari lalu.
Alvin Fortes berpandangan liga Malaysia lebih mencabar kekuatan fizikal pemain menerusi larian-larian yang dilakukan sewaktu di atas padang.
“Saya rasa liga Malaysia lebih banyak berlari berbanding liga Thailand yang menggunakan ruang bebas yang anda boleh manfaatkan.
“Secara fizikal saya berpendapat liga Malaysia lebih sukar berbanding liga Thailand.” ujar Alvin Fortes setelah tamat perlawanan.
Alvin Fortes turut sempat mengucapkan terima kasih kepada para penyokong Selangor atas sokongan yang padu di Stadium MBPJ.
“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada penyokong untuk perlawanan ini kerana mereka berada dibelakang kami dan saya rasa sebagai satu pasukan kami bertambah baik selangkah demi selangkah.” tambahnya lagi.
Alvin Fortes merekodkan dua gol pertama secara peribadi bersama pasukan Selangor dalam kancah liga Malaysia setelah menyumbang satu gol dalam aksi akhir kejohanan RCTI Premium Sports menentang Persija Jakarta awal Jun lalu.