Dua gol masing-masing daripada pemain import Selangor pastikan Negeri Sembilan pulang dengan kekecewaan dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala FA pada Sabtu.
Selangor yang masih segar dengan kejayaan bergelar juara kejohanan jemputan di Indonesia berdepan Negeri Sembilan buat kali kedua bagi musim ini setelah bertemu dalam saingan liga pada penghujung Mei lalu.
Nidzam Jamil tidak melakukan rombakan besar-besaran dalam barisan pemain dengan hanya merehatkan Noor Al Rawabdeh dan Umar Eshmurodov dan digantikan dengan Alex Agyarkwa serta Harith Haiqal.
Seawal minit ketujuh, The Red Giants sudah merobek gawang Negeri Sembilan menerusi lambungan cantik perancang tengah, Yohandry Orozco yang menewaskan Syahmi Adib di pintu gol.
Yohandry Orozco sekali lagi menjadi wira Selangor dengan gol kedua setelah berjaya memperdaya Syahmi Adib dan mudah menolak bola ke gawang yang kosong pada minit ke-15.
Seminit sebelum rehat, Selangor terus selesa di hadapan dengan gol ketiga hasil penyudah pemain sayap, Alvin Fortes untuk menjadikan kedudukan 3-0 kekal sehingga berakhirnya separuh masa pertama.
Kembali dari bilik persalinan, peluang terbaik Selangor menggegar gawang Negeri Sembilan hadir menerusi sepakan penalti Ronnie Fernandez namun tendangannya berjaya ditepis Syahmi Adib.
Walau bagaimanapun, Alvin Fortes menebus kedukaan tersebut dengan gol keempat tuan rumah yang juga jaringan kedua peribadi pemain Cape Verde itu pada minit ke-67.
Beberapa pertukaran dilakukan kedua-dua pasukan namun tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan baik Selangor mahupun Negeri Sembilan sehingga tamat masa sebenar permainan.
Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya tamat dengan keputusan Selangor 4-0 Negeri Sembilan.
Kemenangan ini membawa Selangor mara ke peringkat suku akhir dan akan berdepan kelab Borneo, Kuching City yang pamer kebangkitan untuk menumbangkan KL City di Cheras pada Jumaat.