Penang terus kemarau kemenangan setelah tumpas dengan jaringan besar di tangan Sabah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya pada Jumaat.
Setelah merekodkan 5 aksi tanpa kemenangan, Penang turun di laman sendiri dengan misi untuk membenam Sabah yang cemerlang mengatasi Perak di Manjung minggu lalu.
Kesebelasan utama Penang diterajui nama-nama seperti Sikh Izhan, Syamer Kutty dan Adib Raop manakala Sabah tampil dengan pertahanan, Dominic Tan selaku kapten pasukan.
Ketika aksi baru memasuki minit pertama, Penang dikejutkan dengan jaringan awal Sabah menerusi rembatan lencong kaki kiri Saddil Ramdani yang terus menerjah ke gawang Harimau Kumbang.
Belum sempat tuan rumah bangkit, Sabah terus melebarkan kelebihan dengan gol kedua hasil sepakan percuma dari jarak jauh oleh Gabriel Peres yang menewaskan Sikh Izhan di pintu gol Penang.
Pada minit ke-36, giliran pemain tengah Sabah, Stuart Wilkin pula untuk mencetak nama sebagai penjaring dengan satu rembatan jarak jauh yang menewaskan Sikh Izhan buat kali ketiga.
Penang berusaha mengatur gerak dan miliki peluang terbaik untuk menjaringkan gol hasil tandukan Rodrigo Dias namun penjaga gol Sabah, Damien Lim tangkas menepis percubaan itu.
Separuh masa pertama tamat, Penang 0-3 Sabah.
Kembali dari rehat, pintu gol Penang terus dirobek menerusi percubaan oleh Dominic Tan dari luar kotak penalti sekaligus membuatkan Sabah mendahului 4-0 lima minit bersambung babak kedua.
Barisan kejurulatihan Penang diketuai Abderrazak Merzagua mengambil tindakan drastik dengan mengeluarkan penjaga gawang, Sikh Izhan dan digantikan dengan Shafiq Afifi pada minit ke-58.
Penyerang Sabah, Joao Pedro hampir menyumbat gol ke-5 buat pelawat namun tolakannya hanya mengenai tiang dan serangan balas yang dilancarkan Syamer Kutty tidak tepat ke sasaran.
Aksi di Stadium Bandaraya berakhir dengan kemenangan 4-0 buat Sabah.
Saingan Liga Super seterusnya menyaksikan Penang bakal ke Pantai Timur untuk berdepan cabaran Terengganu sambil Sabah akan pulang ke Likas bagi melayani kunjungan Kedah.