Advertising
Liga Super: Bergson Wira JDT Tundukkan Sri Pahang
MakanBola
Johor Southern Tigers
Sponsors

Johor Darul Ta’zim (JDT) dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

JDT mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan KL City FC 2-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia. Sri Pahang juga turun dengan keyakinan selepas menewaskan Perak FC 1-0.

Ad

Pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad menggunakan formasi 3-5-2 dengan Stefano Brundo kembali berada dalam kesebelasan utama. Bergson da Silva, Heberty Fernandes dan Arif Aiman Hanapi terus menjadi sandaran gol Harimau Selatan.

Separuh masa pertama menyaksikan JDT berusaha mencari gol awal. Mereka hampir melakukannya menerusi Oscar Arribas seawal minit ketiga tetapi digagalkan penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan Hashimuddin.

Ad

Penggunaan formasi 3-5-2 yang digunakan Tok Gajah menyebabkan barisan serangan Harimau Selatan berdepan kesukaran menembusi gawang lawan mereka.

Ad

Ini ditambah dengan corak permainan disiplin yang ditampilkan Sri Pahang terutama barisan pertahanan mereka diketuai Brundo.

Ad

Sri Pahang bernasib baik apabila sepakan penalti tidak dianugerahkan kepada JDT pada minit ke-34. Ini susulan terjahan keras pertahanan Tok Gajah ke atas Bergson.

Walau bagaimanapun, selepas insiden tersebut disemak oleh pegawai VAR, Fitri Maskon, tiada penalti diberi kepada Harimau Selatan.

JDT terus meningkatkan tekanan ke atas kubu pertahanan Tok Gajah tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada separuh masa kedua, Sri Pahang membuat pertukaran pemain dengan memasukkan David Rowley menggantikan Kpah Sherman.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio turut melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan penyerang Harimau Malaya, Romel Morales.

Gol yang dicari-cari Harimau Selatan akhirnya muncul pada minit ke-48 menerusi gol sendiri Adam Nor Azlin.

JDT kemudiannya menggandakan kelebihan mereka empat minit selepas itu menerusi Bergson. Ini gol ke-20 penyerang Brazil itu dalam Liga Super musim 2024/25.

Keceriaan kem Harimau Selatan tidak bertahan lama apabila Rowley menyumbat gol pertama Sri Pahang seminit selepas itu. Beliau memanfaatkan bola muntah yang terlepas daripada kawalan Syihan Hazmi Mohamed sebelum menolak bola ke dalam gawang.

Sri Pahang hampir meraih gol penyamaan menerusi tandukan bekas pemain kebangsaan, Fadhli Shas pada minit ke-58. Malangnya, tandukan beliau berjaya dikeluarkan Feroz Baharudin sebelum melepasi garisan gol.

Tujuh minit kemudian, Morales hampir menambah gol keenamnya dalam liga. Penyerang berdarah Colombia itu hampa apabila percubaannya berjaya ditampan Zarif Irfan.

Bergson menyangka telah mengembalikan kelebihan dua gol JDT pada minit ke-71. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan kerana bekas penyerang Fortaleza itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Harimau Selatan akhirnya mendapat gol ketiga menerusi sepakan penalti Bergson pada minit akhir perlawanan. Ini selepas VAR mengesan insiden Arif Aiman dikasari dalam kotak penalti.

Keputusan ini menyaksikan JDT memiliki 43 mata, 11 mata di hadapan pencabar terdekat, Selangor FC.

Sri Pahang pula jatuh ke tangga kesembilan dengan 15 mata. Ini selepas mereka dipintas KL City yang meraih kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC.

Selepas ini, Harimau Selatan kembali mengalihkan fokus kepada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang KL City pada 22 Disember. Sri Pahang juga bersiap sedia menghadapi cabaran Perak pada hari yang sama.