Hasrat Kedah meranapkan rekod tanpa kalah Liga Super JDT tidak kesampaian. Ini selepas Helang Merah tunduk 3-1 di tangan Harimau Selatan.
JDT yang segar daripada kejayaan menjulang Liga Super buat kali kesembilan tampil dengan keinginan melebarkan rekod tanpa kalah. Sementara Kedah pula mahu menambahbaik kedudukan keenam mereka dalam liga.
Babak pertama menyaksikan Kedah mendahului JDT menerusi Ronald Ngah Wanja pada minit ke-10. Gol tersebut merupakan gol ke-12 penyerang Cameroon itu dalam liga musim ini.
Bagaimanapun, Harimau Selatan berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyudah cantik ayam tambatan mereka, Bergson da Silva pada minit ke-36 selepas menerima hantaran Afiq Fazail.
Sebelum babak pertama berakhir, JDT dipaksa bermain dengan 10 orang. Ini susulan keputusan pengadil melayangkan kad merah terhadap Bergson selepas mengasari pemain Kedah, Rodney Celvin.
Selepas rehat, pasukan pelawat yang dibimbing Hector Bidoglio mendahului tuan rumah menerusi sepakan penalti Leandro Velasquez pada minit ke-60.
Afiq Fazail menamatkan sisa perjuangan Helang Merah dengan menjaringkan gol ketiga Harimau Selatan pada minit ke-79.
JDT bakal berdepan Sri Pahang di Kuantan untuk perlawanan Liga Super seterusnya pada 7 Oktober ini. Sementara Kedah pula akan berdepan Negeri Sembilan pada tarikh yang sama.
[…] perlawanan tertunda minggu ke-10 Liga Super 2022 di antara pasukan Kedah Darul Aman dan JDT, Kedah selaku tuan rumah tewas 1-3 kepada pasukan pelawat sekaligus JDT mengekalkan status tanpa […]