Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali mendominasi kehadiran tertinggi Liga Super minggu ke-4.
Skuad kendalian Hector Bidoglio turun dalam misi untuk meraih kemenangan ke-4 di samping tidak tewas dalam semua kejohanan setakat ini.
Misi tersebut dibantu dengan sokongan padu penyokong Harimau Selatan yang bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim.
JDT merekodkan kehadiran tertinggi Liga Super minggu ke-4 iaitu seramai 17,157 orang penyokong ketika menewaskan Sri Pahang 3-0.
Selangor mengikuti rapat jumlah kehadiran penyokong apabila seramai 10,112 orang hadir bagi menyaksikan pertembungan di Stadium MBPJ pada Ahad.
Derbi Utara juga menerima sambutan yang cukup hangat tatkala Stadium Bandaraya dibanjiri dengan kehadiran sekitar 8,122 orang ketika bertemu Kedah Darul Aman.
Tiga lagi venue menunjukkan kehadiran yang kurang memberangsangkan selepas aksi antara Kuching City dan Terengganu hanya dihadiri oleh 2,658 orang manakala perlawanan antara Kelantan Darul Naim dan PDRM dihadiri seramai 2,132 orang.
Kehadiran terendah dicatatkan pada perlawanan Negeri Sembilan bertemu KL City dengan hanya 1,750 orang penyokong berada di Stadium Paroi.
Aksi Liga Super bakal kembali bersambung pada bulan Julai untuk memberi laluan kepada perlawanan suku akhir Piala FA 2024.