Liga Super: JDT Tinggal Selangor 2-0 Babak Pertama
MakanBola
Selangor FC
Sponsors

Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) meraih kelebihan 2-0 dalam separuh masa pertama aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium MBPJ.

JDT mahu bangkit selepas mengalami kekalahan pertama musim 2024/25 di tangan Gwangju FC. Manakala Selangor mahu meneruskan momentum cemerlang selepas menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors.

Ad

Aliff Izwan Yuslan dan Ali Olwan menjadi sandaran gol pengendali Merah Kuning, Nidzam Jamil. Manakala Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Romel Morales menjadi pilihan Hector Bidoglio sebagai peledak gol Harimau Selatan.

Separuh masa pertama menyaksikan JDT berusaha menembusi barisan pertahanan Selangor yang diketuai bek tengah Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov.

Ad

Kelincahan Arif yang juga pemain sayap Harimau Malaya menyebabkan beliau dikawal rapi sama ada oleh Eshmurodov atau tonggak pertahanan Jordan, Mohammad Abualnadi.

Ad

Corak permainan fizikal yang dipamerkan kedua-dua pasukan memaksa pengadil, Nazmi Nasaruddin bekerja keras mengawal disiplin perlawanan.

Ad

Percubaan tepat JDT yang pertama hadir pada minit ke-20 menerusi pemain berdarah Sepanyol-Filipina, Oscar Arribas. Malangnya, percubaannya mudah diselamatkan penjaga gol, Azim Al Amin Kamaruddin.

Gawang tuan rumah akhirnya bocor pada minit ke-28 menerusi Romel Morales. Ini selepas sepakan percuma Juan Muniz terkena sedikit kepala bekas penyerang KL City FC itu yang menewaskan Azim.

Gol tersebut memberi keyakinan kepada Harimau Selatan untuk terus memburu gol di Stadium MBPJ. Dua minit sebelum rehat, Bergson mudah menolak hantaran Arif melepasi Azim.

Gol Morales dan Bergson memastikan JDT meraih kelebihan 2-0 sehingga rehat separuh masa.