Liga Super: Kedah Mandi Peluh Tewaskan Kuching City
MakanBola
Kedah Darul Aman FC
Sponsors

Gol tunggal penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifedayo Olusegun sudah cukup untuk membantu mereka menewaskan Kuching City FC 1-0 di Stadium Negeri Sarawak hari ini.

Menyedari kekuatan pasukan pelawat, jurulatih sementara Firdaus Morshidi menggunakan taktik bertahan menerusi formasi 5-4-1 pada babak pertama.

Ad

Strategi tersebut menyukarkan KDA FC yang dibimbing Nafuzi Zain mencari ruang kosong bagi membolehkan mereka menjaringkan gol.

Ad

Kesungguhan mereka memburu gol akhirnya berhasil apabila penyerang Nigeria, Ifedayo mudah menanduk hantaran Manuel Hidalgo melepasi Shaiful Wazizi Mohammad pada minit ke-39.

Gol tersebut merupakan gol keempat bekas penyerang Selangor FC itu dalam tiga perlawanan sejak menyertai Sang Kenari dalam tetingkap perpindahan kedua.

Ad

Bersambung pada babak kedua, Firdaus membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat meraih gol penyamaan buat Il Gatto.

Ad

Malangnya, jentera serangan mereka yang diketuai penjaring terbanyak Abu Kamara gagal menemui sentuhan penyudah. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Ad

Kemenangan tipis ini membolehkan Sang Kenari memintas Sri Pahang FC dan menduduki tempat ketiga dengan 37 mata. Manakala Kuching City FC pula kekal berada di zon penyingkiran dengan tujuh mata.

Dengan kedudukan Kuching City FC di zon penyingkiran, sentuhan jurulatih baru amat diperlukan. Il Gatto dikhabarkan bakal melantik bekas jurulatih KDA FC, Aidil Sharin sebagai pengganti jurulatih sebelumnya, Irfan Bakti Abu Salim.

Kedua-dua pasukan bakal mengharungi kempen Piala Malaysia 2023 selepas ini dengan KDA FC berdepan Perak FC pada 3 Ogos. Sementara Kuching City FC bakal berentap dengan Sabah FC dalam aksi derby Borneo pada 5 Ogos.