Sabah terus berdepan kemarau kemenangan dalam Liga Super apabila tewas 1-0 kepada PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
PDRM mahu bangkit selepas dibelasah Sri Pahang FC 5-1 di Temerloh pada 15 September lalu. Manakala Sang Badak pula mahu memburu kemenangan selepas kali terakhir melakukannya dalam aksi menentang Tok Gajah pada 9 Ogos.
Jafri Firdaus Chew, Joao Pedro dan Saddil Ramdani menjadi sandaran gol Sabah. Manakala Bruno Suzuki dan Shahrel Fikri Md. Fauzi menjadi sandaran gol The Cops.
Tonggak Harimau Malaya, Daniel Ting hampir meletakkan Sabah di hadapan seawal minit kelima selepas menerima hantaran Pedro. Malangnya, tandukan beliau hanya melepasi palang gol.
Sabah bertuah tidak ketinggalan gara-gara kesilapan penjaga gol, Damien Lim pada minit ke-13. Hantaran lintang Alif Naquiddin Mohd Shouffi berjaya disekat Damien tetapi bola terlepas dari tangannya sebelum melepasi palang.
Suzuki hampir memecah kebuntuan pada minit ke-26. Selepas berjaya melepasi pertahanan Sabah, beliau melakukan rembatan jarak dekat tetapi pantas ditepis oleh Damien.
Tujuh minit selepas itu, giliran Jafri pula menguji penjaga gol PDRM, Bryan See. Selepas menerima hantaran Darren Lok, bekas penyerang Penang FC itu melepaskan rembatan yang mudah diselamatkan Bryan.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mendapatkan gol tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus berusaha mencari peluang untuk memecah kebuntuan perlawanan.
Sabah ditimpa malang apabila Jafri terpaksa diusung keluar dari padang kerana mengalami kecederaan. Keadaan ini mendorong jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee memasukkan Farhan Roslan dan Stuart Wilkin.
Farhan hampir meletakkan Sang Badak di hadapan pada minit ke-59. Bekas pemain Kelantan FC itu hampa apabila percubaannya sekadar menyinggahi palang gol.
Melihat Sabah semakin ghairah memburu gol, pengendali PDRM, P. Maniam memasukkan Ifedayo Olusegun dan pemain baru pasukan itu, Hadi Fayyadh Abdul Razak.
Suzuki mendapat peluang keemasan apabila tidak dikawal pertahanan Sabah pada minit ke-71. Malangnya, rembatan penyerang berdarah Jepun-Brazil itu melambung tinggi melepasi gol pelawat.
Tatkala perlawanan seakan berkesudahan dengan keputusan seri, Ifedayo menceriakan kem PDRM pada minit ke-80. Bekas penyerang Selangor FC itu melepaskan rembatan kencang yang menewaskan Damien.
Wilkin hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-82 tetapi rembatannya pantas dinafikan bek tengah PDRM, Faith Obilor.
Sabah terus memberi tekanan kepada PDRM tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Sabah di tempat kelima atas kelebihan gol meskipun berkongsi 14 mata dengan The Cops.
Selepas ini, Sabah tidak akan beraksi sehingga 19 Oktober. Ini disebabkan kerja-kerja penaiktarafan yang akan dijalankan di Stadium Likas.
Disebabkan situasi ini juga, aksi Sabah dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 28 September ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak. Manakala PDRM pula hanya akan beraksi pada 4 Oktober untuk menentang Terengganu FC.