Sri Pahang FC akhirnya berjaya menamatkan kemarau kemenangan dalam liga apabila membelasah PDRM FC 5-1 di Temerloh.
The Cops mahu melebarkan rekod kemenangan mereka selepas menewaskan KL City FC di Selayang pada 16 Ogos. Sementara Tok Gajah pula memburu kemenangan yang kali terakhir dikecapi pada 11 Mei lalu.
Kpah Sherman diberi kepercayaan memburu gol buat Sri Pahang. Manakala Shahrel Fikri Md. Fauzi dan Ifedayo Olusegun menjadi sandaran gol PDRM.
Separuh masa pertama menyaksikan Tok Gajah mempamerkan aksi garang untuk memburu gol awal perlawanan.
Sri Pahang yang dibimbing Fandi Ahmad ceria apabila Kpah membuka tirai jaringan pada minit ke-16. Penyerang Liberia itu berjaya melepasi cabaran pemain pelawat sebelum menewaskan penjaga gol, Nor Hakeem Hamidun.
Lapan minit kemudian, giliran tonggak import Argentina, Stefano Brundo pula mencipta nama sebagai penjaring. PDRM makin derita apabila Manuel Hidalgo menyumbat gol ketiga seminit selepas itu.
Situasi ini mendorong pengendali The Cops, P. Maniam membuat dua pertukaran segera. Beliau memasukkan Aremu Timothy dan Bryan See menggantikan Chidi Osuchukwu dan Nor Hakeem.
Pertukaran taktikal yang direncana Maniam tidak menghalang Tok Gajah menambah gol keempat. Brundo sekali lagi mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-34.
Walau bagaimanapun, tuan rumah bernasib malang apabila tonggak import Argentina itu terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. Dua gol Brundo memastikan Sri Pahang mendahului PDRM 4-0 sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Tok Gajah semakin ghairah memburu gol. Kpah terus merobek gawang The Cops pada minit ke-47 selepas menyudahkan hantaran Syazwan Andik.
Keadaan ini menyebabkan Maniam membuat tiga lagi pertukaran pemain. Beliau memasukkan Zuhair Aizat Mohd Nazri, Izaaq Izhan Yuswardi dan Alif Naqiuddin Mohd Shoufi menggantikan Shahrel Fikri, Amir Saiful Badeli dan Zazrir Naim Abdul Rani.
Kelebihan lima gol mendorong Fandi memasukkan penggempur Ukraine, Mykola Ahapov menambah sengat di bahagian serangan.
PDRM merapatkan jurang menerusi Bruno Suzuki pada minit ke-73. Suzuki yang tidak dicabar mudah melakukan tandukan yang menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan Hashimuddin.
The Cops terus berusaha memburu gol tambahan tetapi keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini kemenangan terbesar Sri Pahang dalam liga untuk musim 2024/25.
Kemenangan ini juga membantu Tok Gajah memintas Penang FC untuk menduduki tangga ketujuh liga menerusi kelebihan jaringan. Manakala PDRM kekal di tangga keenam liga dengan 11 mata.
Selepas ini, Sri Pahang bakal berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Alor Setar pada 20 September. Manakala The Cops pula menentang Sabah FC di Selayang pada 21 September.