Perak terpaksa akur terlepas peluang meraih 3 mata di laman sendiri apabila tewas kepada Selangor dalam aksi Liga Super pada Selasa.
Setelah mencatat tiga kemenangan berturut-turut, Selangor dijadualkan bertemu Perak yang ketika ini kelihatan bergelut di laman sendiri apabila sekadar meraih satu kemenangan di Manjung.
Kesebelasan utama Selangor diketuai oleh kapten Singapura, Safuwan Baharudin sementara Clayton dan Wan Zack Haikal bakal memikul peranan sebagai penggempur utama pasukan Perak.
Turun berjersi kuning dan hitam, Perak tampak kebal di awal permainan dengan tampil cemerlang mengekang serangan pelawat yang memburu jaringan awal.
Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai 5 minit sebelum babak pertama berakhir menerusi pemain sayap, Alvin Fortes yang menampan kemas hantaran lintang daripada Quentin Cheng.
Separuh masa pertama tamat, Perak 0-1 Selangor.
Bersambung babak kedua, tuan rumah yang terdesak mula mengatur serang dan miliki peluang menerusi Aiman Yusni dan Tommy Mawat namun percubaan itu berjaya dihadang.
Ketika Perak rancak mengasak, Selangor mengambil peluang untuk mencetak gol kedua sekali lagi menerusi Alvin Fortes yang menyudahkan hantaran 1-2 bersama Agyarkwa di minit ke-71.
Dua minit sebelum aksi tamat, anak-anak buah Yusri Che Lah kembali merapatkan kedudukan menerusi percubaan Wan Zack yang berjaya menewaskan Kalamullah namun sudah terlambat.
Aksi di Stadium Manjung berakhir dengan keputusan 2-1 memihak Selangor.
Tugas seterusnya menanti Perak adalah berkunjung ke laman Sri Pahang dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia pada 22 Disember manakala Selangor bakal bertemu Kelantan DN.