Selangor mempamerkan aksi cemerlang setelah berjaya menewaskan Kelantan Darul Naim 5-1 dalam saingan suku akhir pertama Challenge Cup.
Katsuhito Kinoshi mempertaruhkan barisan pemain seperti Quentin Cheng, Roni Fernandez, Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem, Yohandry Orozco serta Nooa Laine selaku kapten pasukan.
Park Jae-hong pula meletakkan kepercayaan kepada pemain seperti Fikri Che Soh, Oday Kharoub, Syed Sobri, Hakimi Abdullah, Jasmir Mehat serta Michal Jerabek dalam membarisi kesebelasan utama pasukan.
Selangor tidak menunggu lama untuk mencipta jaringan apabila Roni Fernandez meledak gol pertama Selangor seawal minit ke-2 perlawanan setelah menerima bola hantaran Quentin Cheng.
Quentin Cheng terus memainkan watak penting untuk Selangor apabila melakukan bantuan jaringan kepada Mukhairi Ajmal pada minit ke-37 untuk gol kedua Selangor.
Kelantan DN cuba untuk melakukan beberapa siri serangan namun gagal menerjah jaring pihak lawan sekaligus menyaksikan aksi babak pertama tamat dengan kedudukan 2-0 Selangor mendahului Kelantan DN.
Bersambung babak kedua, Selangor terus mengganas apabila Mukhairi Ajmala meledak gol ketiga buat Selangor pada minit ke-48.
Kesilapan penjaga gol Selangor, Azim Al-Amin memakan diri apabila membenarkan Arip Amiruddin menjaringkan gol untuk Kelantan DN.
Roni Fernandez menjaringkan gol keempat pasukan yang merupakan gol kedua peribadinya dalam aksi ini setelah menerima bola hantaran Faisal Halim pada minit ke-74.
Selangor terus mengganas apabila meraih gol kelima pada minit ke-80 menerusi jaringan daripada Quentin Cheng.
Perlawanan tamat dengan kemenangan berpihak kepada Selangor yang menewaskan Kelantan Darul Naim dengan jaringan 5-1.
Selangor seterusnya akan menentang cabaran Perak bagi saingan Liga Super pada 17 Disember ini di Stadium Manjung manakala Kelantan DN akan melawan PDRM pada 18 Disember kelak.
Perlawanan suku akhir kedua Challenge Cup antara Selangor menentang Kelantan Darul Naim bakal berlangsung pada 22 Disember kelak.