Kesemua perlawanan minggu ketiga Liga Super merekodkan kehadiran memberangsangkan sebanyak empat angka.
Aksi Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang DPMM FC dan Sabah FC menentang Kuching City FC masing-masing merekodkan kehadiran melebihi 7,000 orang.
Aksi JDT menentang DPMM di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menyaksikan 7,172 orang penyokong hadir. 7,111 pula hadir menyaksikan pertembungan Sabah dan Kuching City di Stadium Likas.
JDT dan Sabah mengalami nasib berbeza dalam dua aksi berkenaan. JDT mengatasi DPMM 3-0 dengan Sabah pula dikecewakan The Cats 2-0 menerusi dua gol Ajdin Mujagic.
3,775 orang menjadi saksi kemenangan dramatik Selangor FC ke atas Melaka FC di Stadium MBPJ. Meskipun beraksi dengan 10 pemain, itu tidak menghalang anak buah Kim Pan-gon meraih kemenangan 3-2.
3,220 orang hadir di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), Kota Bharu untuk menyaksikan aksi Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC). Tiga gol berkelas dunia membantu The City Boys menewaskan tuan rumah 3-1.
2,344 orang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pula hampa apabila Terengganu FC diikat Penang FC tanpa jaringan.
1,978 orang di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi pula menjadi saksi kebangkitan Negeri Sembilan FC mengikat Star City FC 2-2. Akhyar Rashid muncul wira dengan meledakkan dua gol dalam perlawanan itu.
Selepas ini, aksi keempat liga akan berlangsung dari 11 hingga 13 September ini.