Advertising
Liga Super: Sengat Clayton Pacu Perak Benam Kelantan DN
MakanBola
Perak FC
Sponsors

Empat gol penyerang import Perak FC dari Brazil, Clayton da Silva membantu pasukan itu meraih kemenangan 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).

Kedua-dua pasukan terdesak mengakhiri kemarau tanpa kemenangan yang dilalui dalam Liga Super.

Ad

Clayton menjadi sandaran gol pengendali The Bos Gaurus, Yusri Che Lah. Khidmat Fazrul Amir ditagih Kelantan DN untuk merobek gawang tuan rumah di Stadium Manjung.

Separuh masa pertama menyaksikan Perak terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Clayton pada minit kelapan. Beliau mudah menewaskan penjaga gol Sang Kijang Emas, Muhammad Alfaiz Zula’amin.

Ad

Belum sempat Kelantan DN mengatur kebangkitan, mereka dibolosi lagi buat kali kedua enam minit selepas itu. Kali ini, giliran kapten Perak, Luciano Guaycochea mencetak nama sebagai penjaring.

Ad

10 minit kemudian, pemain tengah muda Kyrgyzstan, Adilet Kanyebekov menceriakan penyokong Perak dengan meledakkan gol ketiga pasukan itu.

Ad

The Bos Gaurus terus berusaha memburu gol tambahan tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Kelantan DN memasukkan Muhaimin Izuddin Muhamad Asri dan Adam Danial Md Zaid untuk mengubah momentum perlawanan.

Malangnya, itu tidak berlaku. Sebaliknya, Clayton menambah jaringan kelimanya bersama Perak pada minit ke-56.

Enam minit kemudian, bekas penyerang Corinthians itu melengkapkan hatrik bagi menjadikan kedudukan semasa 5-0.

Tujuh minit selepas itu, giliran bekas pemain Negeri Sembilan FC, Tommy Mawat Bada mencipta nama sebagai penjaring menerusi gol dari sepakan sudut.

Clayton memastikan malam gemilang The Bos Gaurus dengan meledakkan gol ketujuh pada minit akhir perlawanan.

Perak terus memburu jaringan tambahan tetapi keputusan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan pasukan itu memintas tiga pasukan untuk menduduki tempat kelima.

Kelantan DN pula terus terperosok ke dasar Liga Super dengan tujuh mata daripada 17 perlawanan.

Selepas ini, Perak akan berdepan Kuching City FC di Kuching pada 7 Februari. Kelantan DN pula menentang Penang FC pada hari yang sama.