Aksi tunggal Liga Super pada Jumaat menyaksikan Kedah dan Sri Pahang terpaksa akur dengan satu mata.
Sri Pahang yang garang menumbangkan PDRM 5-1 minggu lalu hadir ke bumi Darul Aman untuk menentang Kedah yang tumpas dengan jaringan besar di tangan KL City di Cheras.
Gandingan Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo dipertaruhkan oleh Sri Pahang di jentera serangan lawan sementara Kedah kembali dibarisi pemain-pemain utama diketuai Sony Norde.
Perlawanan berlangsung seimbang di babak pertama dengan kedua-dua pasukan tampak bersemangat untuk merencana serangan ke kubu lawan.
Tuan rumah memiliki dua peluang terbaik hasil percubaan tepat ke gawang skuad Tok Gajah namun ketumpulan penyudah menggagalkan usaha tersebut.
Separuh masa pertama tamat, Kedah 0-0 Sri Pahang.
Kembali dari rehat, Sri Pahang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Sergio Aguero yang menyambar hantaran Kpah Sherman pada minit ke-52.
Kelebihan itu tidak bertahan lama apabila pemain tengah Kedah, Halim Saari menyamakan kedudukan hasil rembatan padu enam minit kemudian.
Pada minit ke-64, kealpaan barisan pemain pelawat dihukum Sukhrob Nurullaev dengan satu gerakan solo sebelum menewaskan Azfar Arif di pintu gol Sri Pahang.
Penyerang import, Kpah Sherman menyelamatkan maruah Sri Pahang dengan gol penyamaan ketika permainan berbaki 11 minit untuk dimainkan.
Perlawanan di Stadium Darul Aman berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Saingan Liga Super seterusnya menyaksikan Sri Pahang akan kembali ke Temerloh bagi menanti kehadiran Perak manakala Kedah akan terbang ke Likas bertemu Sabah.