Pertembungan menarik melibatkan KL City dan pasukan utara tanah air, Kedah dalam saingan Liga Super pada Sabtu menyaksikan kemenangan diraih skuad Warga Kota.
KL City yang menewaskan Kaya FC dalam kempen Shopee Cup sebelum rehat antarabangsa akan berdepan ujian dari Kedah yang ketika ini dipalit beberapa isu luar padang.
Penyerang berpengalaman, Paulo Josue kekal mengetuai kesebelasan utama KL City manakala Kedah pula menaruh harapan kepada para pemain muda seperti Hafizy Hajazy di gawang pasukan.
Permainan jelas dikuasai oleh tuan rumah dan hasilnya Jovan Motika meletakkan KL City di hadapan seawal minit ke-13 setelah menerima umpanan cantik dari Paulo Josue.
Di minit ke-22, The City Boys terus menggandakan kelebihan dengan jaringan kedua hasil kesilapan pemain Kedah, Hazrie Balqief yang tertampan bola tandukan Paulo Josue ke pintu gol sendiri
Tiga minit berselang, giliran Zhafri Yahya pula menambah derita skuad Sang Kenari apabila sepakan percuma beliau terus menewaskan Hafizy Hajazy buat kali ketiga dalam aksi ini.
Separuh masa pertama tamat, KL City 3-0 Kedah Darul Aman.
Kembali dari rehat, KL City terus mengganas dengan gol keempat pasukan menerusi kapten pasukan Paulo Josue ketika permainan baru berusia empat minit di babak kedua.
Kedah yang dibarisi pemain-pemain muda seakan makin hilang fokus menyebabkan gawang Kedah bocor buat kali kelima sekali lagi hasil sentuhan Paulo Josue pada minit ke-58.
Perlawanan di Stadium Cheras berakhir dengan keputusan 5-0 memihak KL City.
Jadual Liga Super selepas ini menyaksikan Kedah menanti kehadiran Sri Pahang di Alor Setar pada 20 September manakala KL City pula bakal berkunjung ke laman Perak sehari kemudian.