Bekas bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Samu Castillejo memilih bersara dari arena bola sepak.
Keputusan itu dikongsikan pemain sayap Sepanyol berusia 31 tahun menerusi satu video yang dikongsikan di Instagram.
Castillejo mengakui bukan mudah untuk membuat keputusan tersebut. Pada masa sama, beliau juga merasa gembira kerana dapat merealisasikan impian sebagai pemain bola sepak.
“Saya tidak pernah menyangka bahawa menulis kata-kata ini akan menjadi begitu sukar. Sepanjang hidup saya, ia bukan sekadar satu profesion. Sukan ini merupakan minat mendalam saya, cara hidup saya, dan impian yang saya pegang sejak kecil lagi.
“Hari ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap individu yang pernah berkongsi detik bersama saya sepanjang perjalanan indah ini—rakan sepasukan, jurulatih, kakitangan, kelab, dan para peminat.
“Ramai orang dalam kalangan anda yang mempunyai tempat istimewa di hati saya. Anda telah membantu saya berkembang, matang dan menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Castillejo turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat keluarga tercinta bukan saja kerana sentiasa menyokong beliau sebagai pemain bola sepak.
Malah, beliau juga menghargai nasihat dan bimbingan yang diberi mereka yang menjadikannya manusia yang lebih baik.
Sebaik video itu dikongsikan, ramai rakan pemain menzahirkan penghargaan dan mengucapkan selamat berjaya kepada Castillejo.
Antaranya Sandro Tonali, Alvaro Gonzalez, Christian Abad, Cristian Tello, Iker Undabarrena, Hong Wan, Christian Maldini, Manuel Hidalgo dan Jese Rodriguez.
Selain JDT, Castillejo pernah beraksi untuk AC Milan, Valencia, Sassuolo, Malaga dan Villarreal. Antara trofi yang pernah dimenangi bersama Harimau Selatan ialah Piala FA.


