Nama penyerang Harimau Malaya, Bergson da Silva kembali menjadi tumpuan peminat bola sepak ASEAN.
Hal ini berlaku kerana namanya dipilih Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) antara pemain tumpuan yang akan mewarnai FIFA ASEAN Cup.
Bergson menjadi pilihan bukan saja kerana reputasinya sebagai peledak berbisa buat Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan liga domestik, Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Shopee Cup.
Malah, beliau menjadi pilihan terbaru yang menambah kekuatan jentera serangan Harimau Malaya untuk kempen kejohanan itu.
Bergson antara tiga pemain naturalisasi baharu yang dipilih jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe untuk kem kali ini. Selain beliau, Cheng Hoe turut memanggil dua rakan sepasukan beliau, Manuel Hidalgo dan Brad Tapp.
Lebih menarik, berita kehadiran trio berkenaan turut mencuri perhatian Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir baru-baru ini.
Selain Bergson, FIFA turut memilih Emil Audero (Indonesia), Nguyen Dinh Bac (Vietnam), Hamza Choudhury (Bangladesh), Shah Shahiran (Singapura) dan Teerasak Poeiphimai (Thailand) sebagai pemain tumpuan.