Bekas Jurulatih NFDP Malaysia, Lim Teong Kim menjelaskan bahawa media-media di Malaysia perlu belajar dengan lebih mendalam dalam usaha menilai prestasi dan kualiti yang ada pada seseorang pemain.
Dalam satu temubual bersama The Bola Bola Show, beliau menyatakan media perlu lebih celik untuk mengkelaskan tahap kemampuan pemain dan bukan hanya menilai kualiti hanya apabila seseorang menjaringkan gol.
Penilaian hendaklah dilakukan secara holistik dengan melihat secara keseluruhan aksi seseorang pemain di atas padang.
Bagi LTK, sebagai contoh, persembahan seorang pemain penyerang perlulah dilihat dari semua sudut seperti kebolehan mereka mencipta peluang, membuat larian dan bukan hanya terhadap gol-gol yang dijaringkan. Ia juga merujuk kepada penilaian yang sama apabila media ingin menilai kemampuan pemain pertahanan yang perlu dikira dari pelbagai sudut dan peranan yang dimainkan di atas padang.
Beliau dengan tegasnya menegaskan media telah mengacau konsentrasi pemain terutamanya bakat muda dengan memberi pujian yang berlebihan.
“Kamu telah merosakkan fokus pemain (Aiman) hanya kerana dia bermain bagus pada separuh masa kedua, ianya amat berlebihan.”
” Kamu lihat apa yang terjadi pada dia (Aiman) pada perlawanan kedua (menentang Thailand), dia gagal (tidak bermain dengan baik).”
Jurulatih kelahiran Melaka ini menjelaskan bahawa pemain-pemain muda tidak mampu untuk mengawal situasi apabila media mula untuk memberikan pujian kepada mereka. Tambahnya, pemain muda perlu diberikan perlindungan dan tidak membiarkan mereka termakan dengan pujian yang menggunung.
“Di Jerman, ketika Toni Kroos bermain dengan baik pada usia muda di Bayern Munich, jurulatihnya tidak memberikan media menemu bual Kroos.”
“Ini cara bagaimana anda menjaga pemain muda anda. Jangan biarkan mereka terdedah kepada media terlalu awal dan terlalu kerap.”
Tambahnya lagi, sistem kelab di luar negara juga amat gembira untuk memastikan bahawa pemain mereka tidak terlalu menonjol dengan tidak mengizinkan mereka ditemu bual oleh media. Ini juga dapat memastikan bahawa pemain boleh kekal fokus untuk mempersiapkan diri menjelang hari perlawanan.
LTK turut menekankan peranan semua pihak termasuklah media agar tidak terlalu berlebihan bagi memastikan pemain muda negara dibentuk dengan baik untuk mewakili skuad kebangsaan.