Kapten Selangor, Safuwan Baharudin sah dipinjamkan ke kelab Singapura, Lion City Sailors FC.
Perpindahan secara pinjaman ini diumumkan oleh Lion City Sailors menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab gergasi Singapura itu pada petang Ahad.
“Lion City Sailors dengan teruja mengumumkan peminjaman tonggak antarabangsa berpengalaman Singapura, Safuwan Baharudin bagi menghadapi musim 2025/26,” umum kelab itu.
Menurut Pengarah Eksekutif Lion City Sailors, Bruce Liang, kelebihan yang dimiliki oleh Safuwan bakal memberi suatu nilai tambah baharu buat pasukan bagi menghadapi musim akan datang.
“Safuwan adalah pemain bertaraf tinggi yang terbukti dalam rantau ini.”
“Kehadirannya yang tenang, mentaliti mencapai kemenangan dan kepelbagaian posisi bakal menambahkan kekuatan serta ketebalan penting kepada pasukan kami,” ujar Bruce Liang.
Safuwan turut meluahkan keterujaannya menjadi sebahagian daripada keluarga besar Sailors yang memberikan segalanya untuk menaikkan nama bola sepak negara Singapura di mata dunia.
“Saya sangat teruja menjadi sebahagian daripada pasukan yang melakukan segala yang termampu untuk menaikkan standard bola sepak Singapura,” kata Safuwan Baharudin.
Safuwan dijadualkan memulakan sesi latihan bersama Lion City Sailors minggu hadapan seiring dengan persiapan pra-musim kelab menjelang kempen besar yang menanti.
Untuk rekod, Safuwan menjadi nadi penting buat pasukan Selangor musim lalu apabila merekodkan 30 penampilan selain meledak 4 jaringan untuk membantu The Red Giants muncul naib juara Liga Super.